Thursday, February 15, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan Pocong Dan Bahana Ilmu Bangkit Mayat @ Ilmu Pocong Eps 49*

MERAWAT KERASUKAN POCONG DAN BAHANA MENGAMBIL ILMU BANGKIT MAYAT @ ILMU POCONG

Siri pengalaman perawat kali ini adalah merupakan suatu pengalaman yang baru dan luarbiasa bagi perawat selama tempoh 22 tahun terjebak dalam merawat pesakit-pesakit gangguan ghaib. Kisah pengalaman ini agak panjang kerana ia sesuatu yang baru dan jarang-jarang ada pada zaman ini. Pengalaman rawatan ini adalah sebagai suatu iktibar kepada diri perawat dan juga pengikut serta pembaca laman perawat ini tentang perkara yang tak sepatutnya dibuat.

Suami kepada pesakit (isteri) telah menghubungi perawat untuk datang ke rumahnya yang berlokasi di Sg Ara, Pulau Pinang pada awal Ogos 2017 bagi merawat isterinya yang dikatakan mengalami beberapa gangguan pelik di malam hari dan di tempat kerja selain bersikap panas baran terhadap suaminya.

Seperti biasa, sesi temubual dijalankan bagi mengenalpasti punca dan bermulanya masalah gangguan tersebut. Kata pesakit, gangguan-gangguan pelik ke atas dirinya semakin menjadi-jadi sejak 5 tahun kebelakangan ini. Sebelum itu, ada juga terjadi tetapi tidak kerap dan pesakit hanya mengabaikan saja kerana difikirkan tidak serius walaupun ia bermula sejak pesakit masih anak dara lagi iaitu 40 tahun yang lalu.


Mengikut keterangan suami pesakit, isterinya sudah beberapa kali kerasukan sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. Keadaan ketika kerasukan, pesakit duduk bersimpuh, menangis tersedu-sedu, badan menggigil bergegar dan tidak sedar apa yang berlaku pada dirinya. Tempoh kerasukan juga agak panjang, adakala sehingga 2-3 jam untuk kembali normal.

Antara simtom-simtom gangguan pada pesakit adalah rasa diri didekati kerapkali di rumah dan di luar, susah tidur tanpa sebab, kerap bermimpi buruk seperti berada di tempat kotor, jamban, ular hitam dan rumah kampung halamannya yang telah tidak wujud lagi selepas dirobohkan, kerap terjaga malam tanpa sebab, kerap lebam di kaki dan badannya terasa panas tidak tentu masa bukan disebabkan faktor cuaca.

Selain itu, terdapat benjolan seperti bengkak di dahinya dan jari jemari tangan dan kaki kesemua terasa sakit. Apabila pemeriksaan doktor dibuat, doktor mengesahkan pesakit tidak mengalami sebarang penyakit. Apabila menjelang waktu Maghrib, pesakit akan merasa terlalu mengantuk dan pada masa ditemubual pun kelihatan mata pesakit kuyu dan seperti hendak terpejam.

Kata suami pesakit, selama tempoh 5 tahun tersebut, mereka telah berubat merata tempat sehingga ke Johor dan berhabis ribuan ringgit berikhtiar untuk merawat masalah pesakit tersebut. Ulasan perawat-perawat tersebut menyatakan pelbagai andaian bahawa ia adalah saka, buatan orang, gangguan jin dan kerasukan juga berlaku. Ketika perawat bertanya sama ada pernah mengambil atau mengamal sebarang ilmu tuntutan daripada sesiapapun, pesakit menyatakan tidak ada dan tidak pernah.

Sebelum sesi rawatan pertama dimulakan, pesakit terus pengsan dan tumbang ke belakang ke arah perawat. Perawat sempat menyambutnya dan membaringkan pesakit di lantai. Terasa berat tubuh pesakit seperti tubuh mayat yang besar sedangkan pesakit tidak besar dan rendah sedikit orangnya. Perawat cuba meneliti dan membuat pengesanan tetapi masih tidak dapat mengesan apa yang terjadi pada pesakit. Selama 2 jam pesakit terbaring seperti mayat dan sepanjang tempoh itu tidak ada respon dari rawatan perawat. Perawat memberitahu suami pesakit bahawa perawat akan datang pada rawatan susulan kedua sementara mencari jawapan kepada permasalahan yang baru ini. Perawat merujuk kepada beberapa orang sahabat perawat berdasarkan pengalaman mereka menghadapi kes-kes baru atau luarbiasa selain merujuk kepada tuan guru perawat dan memohon petunjuk dari Allah untuk jawapannya. Atas sedikit perkongsian pengalaman mereka serta nasihat daripada tuan guru perawat, akan diusahakan ikhtiar setakat yang mampu.

Perawat dimaklumkan oleh suami pesakit keesokannya, sebaik sahaja perawat bergerak pulang dari rumahnya dalam 15 minit, pesakit terus sedarkan diri. Dalam pada itu, suami pesakit memberitahu, mereka belum habis lagi rawatan dengan seorang imam di Changlun Kedah dan perawat menasihatkan supaya pesakit menghabiskan dulu rawatan di sana supaya tidak bertindih ilmu rawatan dengan perawat lain. Setelah selesai dengan imam tersebut, baru dibolehkan berikhtiar dengan perawat sendiri.

Setelah pesakit putus ubat dengan imam tersebut, masih belum mendapat jawapan dan petunjuk, rawatan susulan kedua dilanjutkan. Kali ini kakak kepada pesakit datang sama untuk minta dirawat. Setelah selesai rawatan pada kakak pesakit, barulah disambung kepada pesakit. Sebelum bermula rawatan, pesakit memberitahu 2 hari selepas rawatan pertama, jari jemari tangan berdenyut-denyut, 7 hari selepas itu kaki kanan terasa panas. 2-3 hari selepas itu baru hilang panasnya. Pesakit masih bermimpi buruk berada di tandas tetapi mimpi rumah kampung sudah tiada lagi. Kejadian sama berulang di mana sebelum rawatan dimulakan, pesakit terus pengsan dan tumbang, Allahuakbar, berat badannya seperti tubuh mayat yang besar. Perawat cuba menyeksa jika ada jin di dalam tubuh pesakit. Hampir 15 minit baru kelihatan pergerakan menggeletar seperti kesakitan bila seksaan demi seksaan berterusan.

Terbukalah cerita dari mulut kakaknya bahawa mereka berdua pernah mengambil suatu ilmu dari arwah ibu mereka yang dinamakan Ilmu Bangkit Mayat atau Ilmu Pocong di mana keberkesanan ilmu ini, bila mati, jasad masih boleh keluar dari kubur dan pulang ke rumah tinggal bersama keluarga. Ilmu ini terkenal di Kalimantan dan Indonesia dan ada juga menyebar ke Sabah dan Sarawak. Dari sinilah perawat mendapat jawapan dan petunjuk bahawa pesakit tidak berlaku jujur dan tidak berterus terang semasa ditanya pada sesi rawatan pertama, tentang ilmu tuntutan yang telah diambilnya sejak 40 tahun yang lalu. Maka yang menumpang di dalam badan pesakit ketika itu adalah jin yang dinamakan Pocong. Perawat bertindak membunuh jin tersebut tetapi ia hanya mengerang kesakitan walaupun kepalanya diputuskan dan tikaman dijuruskan, masih juga tidak mati. Seksaan yang amat dahsyat dijuruskan sehingga jin tersebut keluar dari tubuh pesakit, dan pada saat itu juga pesakit tersedar dan setelah berehat seketika, pesakit menyatakan tubuhnya ringan. Setelah dipulihkan, perawat mentarbiah pesakit tentang sikap menyembunyikan kebenaran tentang ilmu tuntutan yang telah diambilnya 40 tahun yang lalu. Nasihat demi nasihat, pencerahan demi pencerahan, akhirnya pesakit mengaku juga akan kesilapannya itu jika ingin terus berubat dengan perawat.

Beberapa hari selepas rawatan kedua, pesakit kembali sakit seperti asal setelah dimaklumkan oleh suami pesakit. Sesi rawatan ketiga bersambung. Kerasukan kali ini agak agresif di mana jin ketawa perli seperti perawat tidak dapat berbuat apa-apa. Seksaan maha dahsyat dijuruskan, jin menjerit kesakitan. Bila disuruh bercakap, jin ketawa sahaja tetapi tidak dapat bercakap. Seksaan demi seksaan dijuruskan sehingga jin tersebut pengsan lemah tidak bergerak. Dijuruskan lagi berganda seksaan, jin yang sudah lemah menangis kerana tidak tahan dengan siksaan tetapi masih berdegil tidak mahu keluar. Sehingga jam 2 pagi, jin tersebut pengsan dan tidak bergerak selepas bertubi-tubi dijurus seksaan. Perawat meminta untuk disambung pada rawatan keempat.

Keesokan malamnya, dari jarak jauh perawat menangkap dan memenjarakan jin tersebut ke dalam sebuah penjara rahsia. Ketika sesi rawatan keempat dijalankan, pesakit tidak lagi pengsan atau kerasukan seperti yang berlaku sebelum ini, beberapa bahagian tubuh yang terdapat zat jahat dimusnahkan, ilmu tuntutan dibuang sepenuhnya dan nasihat ilmu agama diberikan untuk kesedaran pesakit tentang apa yang betul dan apa yang salah dalam tuntutan ilmu yang tak sepatutnya tambah-tambah ilmu yang berkhadam jin.

Setelah beberapa hari, suami pesakit memaklumkan isterinya telah pulih, ceria, tidak lagi baran, tidak lagi mengantuk pada waktu Maghrib dan tiada lagi sintom-simtom gangguan seperti sebelum ini. Alhamdulillah.

Setiap ilmu tuntutan sama ada yang melibatkan saka keturunan, datang dari mimpi, berdamping dengan bunian, menuntut ilmu salah, mengambil dari jalan yang tidak betul atau seseorang yang tidak diketahui latar belakangnya, jika melibatkan penggunaan jin khadam, adalah lebih baik dielakkan dan dibuang amalan ilmu tersebut kerana kemudaratannya lebih banyak dari kebaikan walaupun niat pengamal adalah baik tetapi rezeki bersama golongan jin tidak pernah kekal dan tidak sesekali akan bertambah. Ada antara perawat berjin khadam tidak dapat menyelesaikan masalah pesakit gangguan jin kerana jin khadamnya tidak mampu mengatasi jin utusan tukang hantar. Banyak antara pesakit mereka sembuh dalam tempoh yang sementara kemudian kembali terkena gangguan yang sama.

Teruskan bersama siri pengalaman perawat dalam menangani masalah gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi berlaku di dalam masyarakat umum.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#pocong
#kerasukan
#ilmubangkitmayat
#ilmupocong
#ilmuhitam
#salahamal
#gangguanjin
#khadamjin

Wednesday, February 14, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran Eps 48*

MERAWAT GANGGUAN JIN LUARAN

Awal Oktober 2017, pesakit adalah seorang perempuan bujang menumpang di rumah pangsapuri bersama makciknya yang berlokasi di kawasan Sg Dua bahagian pulau, Pulau Pinang. Perawat telah dihubungi oleh ibunya yang menetap di Ayer Itam, Pulau Pinang yang kebetulan anaknya balik bercuti, dari tempat kerja yang berhampiran dengan rumah makciknya.

Mengikut apa yang diceritakan oleh pesakit, gangguan jin ini telah berlangsung selama setahun (dari tarikh rawatan perawat). Ia hanya berlaku di rumah makciknya sahaja dan tidak di rumah ibubapanya di Ayer Itam. Apabila pesakit memberitahu tentang pangsapuri yang diduduki makciknya, umumnya ramai yang telah tahu bahawa pangsapuri ini memang ada gangguan jin sejak dari ia dibina sehinggalah sekarang dan dikategorikan sebagai antara salah satu 'tempat keras' di Pulau Pinang. Ramai penghuni di pangsapuri tersebut sudah lali dengan gangguan yang setiap malam berlangsung kerana tidak ada pilihan untuk menjual rumah mereka setelah membeli dengan harga kos rendah dan terpaksa menerima hakikat gangguan-gangguan yang berlaku.

Pesakit menyatakan di sebelah malam penghuni pangsapuri kerap merasa seram sejuk apabila pulang dari tempat kerja tetapi sudah menjadi kebiasaan bagi mereka kerana terpaksa menempuh situasi tersebut setiap hari. Mungkin bagi orang luar atau orang baru, tidak dapat bertahan lama untuk menyewa di unit-unit rumah pangsapuri tersebut.

Antara gangguan yang berlaku ke atas pesakit ialah susah tidur malam kerana setiap malam akan kedengaran bunyi guli melantun-lantun di siling rumah selain bunyi perabot diubah-ubah, mimpi buruk iaitu dalam mimpinya kerap berjumpa dua beradik budak kecil yang suka duduk di bawah meja makan, kekerapan terjaga malam kerana gangguan, ditindih berkali-kali semasa tidur dan kerap mendapat lebam-lebam di kaki.

Ketika sesi rawatan, perawat mendapati tiada sebarang zat jahat di dalam tubuh pesakit. Hanya gangguan dan mainan jin saja yang berlaku di luar tubuh. Pesakit juga seorang yang kuat semangat dan ada sifat berani untuk berhadapan dengan gangguan-gangguan sebegini. Walau apapun, perawat menyediakan air minum dan mandian yang telah didoakan sebagai ikhtiar membentengi dan merawat diri. Tiada rawatan susulan memandang kejadian hanya berlaku di dalam rumah makciknya sahaja dan tidak di tempat lain.

Ikuti pengalaman perawat seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan bersama Perubatan Ikhtiar Dan Doa dalam menghadapi situasi-situasi yang misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#fbPerubatanIkhtiarDanDoa
#jinmenumpang
#gangguanjin
#lebam
#ditindih

Tuesday, February 13, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Sihir Dan Zat Jahat Eps 47*

MERAWAT GANGGUAN JIN SIHIR DAN ZAT JAHAT

Awal September 2017, berlokasi di suatu tempat di Sg Dua bahagian pulau, Pulau Pinang. Perawat telah dihubungi untuk merawat pesakit suami isteri pada sebelah malam bagi merawat keadaan mereka yang merasakan terkena gangguan.

Seperti biasa, pada sesi pertama rawatan, pesakit akan ditemubual untuk perawat mengenalpasti simtom dan bermulanya keadaan sakit yang berlaku. Mengikut penjelasan pesakit perempuan (isteri), tempoh sakit telah berlarutan lebih 7 tahun. Pesakit telah berubat dengan banyak perawat sepanjang tempoh tersebut dan perawat terakhir yang merawatnya sebelum berjumpa dengan perawat sendiri adalah dari Darul Syifa' di Pulau Pinang. Apa yang dikatakan oleh perawat-perawat tersebut adalah pesakit ini terkena gangguan jin. Katanya jin tersebut telah dibuang tetapi gangguannya masih tetap ada.

Maka diceritakan pesakit sinopsis bermulanya bibit-bibit gangguan pada 10 tahun yang lalu (dari tarikh rawatan dengan perawat). Ketika itu pesakit bekerja di sebuah tadika yang tidak jauh dari kawasan kediamannya. Tidak pasti permasalahan apa yang terjadi di dalam tadika tersebut, pesakit telah ditepuk di bahu dan diberi amaran oleh orang yang pesakit kenal di tadika tersebut. Bermula dari situlah terjadinya gangguan pada diri pesakit. Pada awal 3 tahun pertama gangguan hanya biasa saja tetapi makin menjadi dan berlarutan hingga lebih 7 tahun. Walaupun telah berubat merata tempat sehingga hampir berputus asa, akhirnya pesakit ingin berikhtiar dengan perawat setelah direkemenkan oleh bekas pesakit perawat sendiri yang telah dirawatpulih sepenuhnya sebelum ini.

Antara simtom-simtom yang berlaku pada pesakit ialah kekerapan nampak kelibat di dalam rumah, susah tidur tanpa sebab, kerap terjaga malam, kerap ditindih 2-3 kali semasa tidur, sakit kepala tanpa sebab dan rasa benda bergerak di bahagian kaki.

Ketika sesi rawatan pertama bermula, kepala pesakit mengalami gegaran. Maka perawat mengeluarkan zat jahat dan memusnahkannya. Terdapat beberapa tempat di belakang badan dan kaki yang terdapat zat-zat jahat dan dimusnahkan serta merta. Sedang perawat menyelesaikan zat-zat jahat tersebut, tiba-tiba pesakit dicekik dan sesak nafas. Serta merta perawat membuka genggaman pada leher pesakit serta kunci yang dikenakan pada dadanya supaya pesakit sesak nafas. Perjalanan sihir disekat dan diputuskan, barulah pesakit kembali normal.

Pesakit perempuan tersebut dipulihkan. Pada sesi rawatan kedua, tiada lagi simtom-simtom gangguan seperti yang dinyatakan di atas dan pada sesi rawatan ketiga, terdapat sedikit zat jahat disebabkan pesakit suka keluar pada waktu maghrib dan malam. Walau bagaimanapun, pesakit telah pulih.

Manakala pesakit lelaki (suami) mengalami gangguan selama 3 tahun (dari tarikh rawatan perawat). Antara simtom-simtom yang terjadi pada diri pesakit adalah lebam di kaki, rasa seperti ada benda bergerak di bahagian belakang badan dan telinganya yang kerap berbunyi atau berdesing yang pelik. Mengikut sinopsis cerita pesakit, punca gangguan bermula ketika dia dan isteri bermalam di sebuah hotel di Cameron Highland. Ada sesuatu yang menyebabkan telinga kirinya  berdesing semasa menginap di hotel tersebut. Sejak dari situlah sehingga 3 tahun gangguan tersebut berlarutan terutama gangguan desingan di telinga kirinya.

Maka perawat melakukan pengesanan (scanning) dan didapati terdapat zat jahat akibat perbuatan jin. Zat-zat jahat pada telinga dan tubuh pesakit lelaki dimusnahkan. Susulan sesi rawatan kedua dijalankan untuk memusnahkan kesemua zat jahat yang masih tertinggal dan pada sesi rawatan ketiga, pesakit lelaki telah pulih sepenuhnya.

Adalah dinasihatkan dan disarankan kepada semua pembaca agar jangan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam untuk tidak meninggalkan perintah Tuhan. Mungkin ada yang berkata, orang yang solat 5 waktu, hafiz al-Quran, ahli zikir, tuan guru pondok dan alim ulama pun terkena gangguan, tetapi harus diingat, orang yang jiwanya kosong, tiada pengisian ilmu agama, mengabaikan perintah Tuhan kebiasaannya mengalami gangguan yang lebih teruk kerana tiada ketahanan pada diri dan berlarutan gangguan berpanjangan. Bagi yang berjalan di landasan ilmu dan agama, gangguannya adalah ujian manakala selain itu adalah kifarah atau bala dari Tuhan agar kita kembali kepadaNya untuk memperbaiki kelemahan diri.

Nantikan seterusnya kisah pengalaman perawat yang lain dalam jejak rawatan dan perubatan menelusuri gangguan-gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi keberadaannya terjadi dari masa ke semasa.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#gangguanjin
#kelibat
#ditindih
#susahtidur
#mainguli
#bendabergerak