Sunday, February 19, 2023

*Kelebihan Mandi Bunga*

KELEBIHAN MANDI BUNGA

Antara kelebihan mandi bunga ialah:

*menyegarkan badan
*menghilangkan bau badan
*menyerikan wajah supaya disukai orang
*memberi awet muda supaya sejuk mata yang memandang
*memulihkan tenaga dalam
*memulihkan semangat
*menyerlahkan aura dalaman
*memberi pelaris diri supaya didampingi ramai
*memberi pendinding dari gangguan halus
*membuang tenaga negatif
*menghaluskan kulit
*merawat kulit dan dalaman secara semulajadi
*memberi bau-bauan bunga pada diri
*menenangkan minda dan perasaan
*memperbaiki keyakinan diri
*dan lain-lain perkara yang baik


Apapun mandi bunga adalah sebagai suatu wasilah kepada "ikhtiar dan tawakkal" bergantung pada hajat dan doa yang diminta dan bukan untuk jodoh cepat kahwin seperti yang diceritakan dari zaman dahulu lagi kerana Jodoh, Pertemuan, Ajal, Maut itu di tangan Tuhan...

Jenis-Jenis Bunga Yang Bersesuaian:

1. Bunga Melur
2. Bunga Cempaka
3. Bunga Mawar Putih/Kuning
4. Bunga Harum Sundal Malam
5. Bunga Kantil
6. Bunga Tanjung
7. Bunga Kenanga
8. Bunga Kesidang
9. Bunga Carnation
10. Bunga Dahlia
11. Bunga Lonceng
12. Bunga Melati
13. Bunga Sakura
14. Bunga Sedap Malam
15. Bunga Tulip
16. Bunga Magnolia
17. Bunga Raya
18. Bunga Ros
19. Bunga Anggerik Ungu
20. Bunga Anggerik Hantu
21. Bunga Saffron
22. Bunga Anggerik Merpati
23. Bunga Daisy
24. Bunga Kekwa
25. Bunga Cenderawasih
26. Bunga Kemboja
27. Bunga Seri Pagi
28. Bunga Seroja
29. Bunga Kembang Sepatu
30. Bunga Lily
31. Bunga Pukul Empat
32. Bunga Yasmin

33. Bunga Bakawali

Dan lain-lain bunga yang bersesuaian. Elakkan bunga yang namanya kurang sedap disebut atau yang tidak indah seperti bunga tahi ayam, bunga kertas, bunga kalungan yang digunakan oleh kaum India untuk tuhannya dan lain-lain.

Disediakan oleh:

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#mandibunga
#auradiri

*Pengalaman Merawat Gangguan Zat Jahat Eps 81*

Kes berlaku pada bulan September 2017 ke atas pesakit wanita di kawasan Sungai Dua Gelugor di sebuah flat terkenal di situ.

Antara simtom-simtom gangguan yang dialami ialah nampak kelibat di dalam rumah, susah tidur tanpa sebab, kerap terjaga malam, kerap ditindih semasa tidur, sakit kepala tanpa sebab dan rasa benda bergerak di bahagian kaki.

Pesakit adalah seorang guru tadika di kawasan flat tersebut. Telah berubat dengan ramai perawat. Dikatakan terkena gangguan jin. Walaupun telah dibuang, gangguan masih kembali. Yang terakhir pesakit berubat dengan salah seorang ustaz dari Darul Syifa tetapi masih tiada penyelesaian. Mengikut cerita pesakit, kisah bermulanya gangguan adalah 10 tahun yang lalu di tadika tempat dia mengajar. Pesakit telah ditepuk di bahunya dan diberi amaran oleh orang yang pesakit kenali. Bila ditanya apa punca pergaduhan, pesakit tidak mahu menceritakan.

Sesi rawatan pertama bermula, didapati ada unsur zat jahat dan sihir mentera yang ditujukan pada dia. Kesemua zat jahat dan sihir mentera dimusnahkan. Ketika perawat menarik zat jahat dari dalam kepalanya, kepala pesakit bergegar dan berhenti gegaran sebaik saja zat jahat dimusnahkan. Pesakit bertambah tenang dan selesa.

Pada sesi rawatan berikutnya, kesemua simtom-simtom gangguan telah tiada pada pesakit.

Pada sesi rawatan ketiga dan keempat, pesakit minta dirawat lagi kerana ada bermimpi bayi dan ternampak kelibat kepala di almari pakaiannya. Bila ditanya adakah pesakit kerap berada di luar pada waktu maghrib, dia mengiyakan kerana suka bersembang dengan kawan-kawan walaupun telah masuk waktu maghrib. Perawat menasihatkan agar pesakit mengubah sikap supaya sebelum maghrib berada di dalam rumah dan menunaikan perintah agama mengikut yang sepatutnya disuruh dan bukan berada di luar rumah walaupun telah malam.

Sebarang Kemusykilan Dan Rawatan -
Sila Hubungi Talian Bantuan Atau Sila Layari LAMAN SESAWANG PERAWAT Atau WHATSAPP Atau MESSENGER Atau SMS Seperti Yang Tertera Di Laman Sesawang :

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

*Pengalaman Merawat Kerasukan, Pemutusan Perjanjian Saka, Santau dan Ilmu Pengasih Eps 80*

Penghujung April 2018, satu keluarga datang dari Pasir Mas Kelantan telah membuat temujanji untuk rawatan di rumah adiknya di Bayan Lepas. Rawatan dijalankan di sebelah pagi seperti yang diminta.

Pesakit pertama adalah si isteri yang telah mengalami gangguan lebih setahun walaupun berubat merata tempat, simtomnya masih ada. Antara simtom-simtom gangguan pada dirinya ialah selalu nampak kelibat di dalam rumah, rasa didekati dan diperhati di dalam rumah, susah tidur, mimpi buruk seperti tandas, binatang berbisa, orang tak dikenali, kerap terjaga malam sebab terkejut tanpa sebab, lebam-lebam di kaki, badan terasa berdebar, sakit kepala tak tau punca, rasa ada benda bergerak-gerak dalam badan dan terasa seram sejuk sentiasa.

Ketika sesi rawatan pertama, pesakit ada menyatakan pernah menerima jin belaan arwah maknya ketika sakaratul maut kerana melihat peritnya arwah mak susah hendak meninggal. Selepas menerima jin saka tersebut, barulah arwah maknya dapat menghembuskan nafas terakhir. Bermula dari situ, jin saka tersebut banyak mengganggu dirinya. Ketika perawat memulakan rawatan, pesakit kerasukan menjadi marah. Diikat dan dibelasah jin itu cukup-cukup, barulah pemutusan perjanjian saka dibuat. Dalam masa yang sama, pesakit telah dikenakan ilmu pengasih oleh seorang lelaki yang mahukan dirinya. Santau angin juga dihantar oleh lelaki tersebut menyebabkan pesakit muntah. Setelah sihir, santau dan perjanjian jin saka dimusnahkan, pesakit menyatakan badan ringan dan pulih seperti semula.

Pesakit kedua adalah si suami yang minta untuk diperiksa kerana sakitnya berlanjutan selama 37 tahun. Antara simtom-simtom gangguan pada diri ialah kerap nampak kelibat dalam rumah, rasa didekati dan diperhati dalam rumah, susah tidur malam dan kerap sakit bahu. Setelah diperiksa, pesakit ini juga mempunyai penjanjian jin saka keturunan dan terkena santau angin. Perawat membatalkan perjanjian jin saka tersebut dan memusnahkan santau angin pada badan pesakit.

Pada sesi rawatan kedua berikutnya, kedua-dua pesakit telah pulih sepenuhnya seperti sediakala.

Teruskan bersama jejak rawatan perawat dalam pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di mana saja.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

*Pengalaman Merawat Kerasukan Jin Pemisah Rumahtangga Eps 82*

Peristiwa kali ini berlaku dalam tahun 2018, pada bulan Januari, di mana perawat mengenali seorang kawan (anak lelaki) kepada pesakit (ibunya) telah meminta kepada perawat untuk berikhtiar merawat ibunya di Sg. Ara, Bayan Lepas.

Alkisahnya, kawan perawat ini memberitahu bahawa ibunya ini mengambil tugas sebagai kerja-kerja bidan sejak usia muda lagi. Kesemua anak-anak pesakit ini tidak tahu menahu macamana ibu depa boleh mengurut dan menguruskan bab-bab perbidanan serta mampu menghafal ayat-ayat dan surah-surah dari alQuran ketika merawat pesakit perempuan di samping cekap mengurut. Bila anak-anak tanya ibu mereka, pesakit menjawab, "Dia mai sendiri, jadi sendiri". Jadi tiada komen antara anak-anak yang sering melihat ibu depa dibawa ke sana sini untuk mengurut perempuan hamil dan yang sudah bersalin. Yang menghairankan, macamana pesakit-pesakit/pelanggan-pelanggannya boleh tahu dan sampai ke rumah ibu depa sedangkan tidak pernah pun dibuat sebarang iklan atau diwar-warkan pada umum.

Perawat pernah terserempak dengan ibu kawan perawat sebelum ni tetapi ibunya melarikan diri dari bertemu perawat. Mulanya perawat menganggap mungkin ibunya tidak sosial dan cuba mengelak dari bertemu dengan orang lelaki. Kerana ibunya telah lama menjanda kematian suami. Sehinggalah ibunya berumur 79 tahun, sesuatu telah berlaku pada ibu kawan perawat ni.

Kawan perawat memberitahu ibunya tiba-tiba saja berjalan tempang sebelah kaki tanpa sebab. Kata kawan perawat lagi, kebiasaan ibunya ni selalu mengangkat sekampit beras 10kg macam angkat bantal saja. Kalau nak diikutkan dengan tubuh yang rendah, umur yang tua, kudrat yang lemah dan perwatakan seorang tua yang berumur 79 tahun, tak mungkin ibunya mampu angkat benda-benda yang berat dengan kerap.

Jadi, pada penghujung Januari 2018, perawat baru sampai ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur, kawan perawat telah hubungi semasa merayu jugak agar perawat berikhtiar merawat ibunya sebaik sampai ke pulau. Tepat 6.15pm perawat sampai di rumah pesakit. Sebaik masuk pintu rumah, pesakit (ibu kawan) menegur.

Pesakit: Ni sapa ni...mai mana
Perawat: Dak ehh...saya ni kawan Mad(bukan nama sebenar)..saja nak mai ziarah..mai sembang-sembang...
Pesakit: Kawan?? Meh meh masuk...

(Ketika ni yang bercakap tu bukan si ibu kawan perawat ni tapi jin yang dah duk dalam badan dia yang dah pun awai-awai merasuk)

Mad: Ni mak...kawan cek ni mai nak tengok kaki mak tu...sebab apa mak jalan tempang...sakit urat ka...terseliuh ka...
Pesakit: Tak tau la kena apa..(jin berlakon). Nak tengok macamana??
Perawat: Makcik boleh dak baring ateh katil, saya tak buat apapun...nk chek ja kaki tu...

Pesakit pun baring la kat katil dia. Anak menantu cucu ramai pulak yang mai rumah nak tengok sesi rawatan. Walaupun dalam keadaan letih memandu 5 jam dari Kuala Lumpur balik ke Pulau Pinang, perawat insyaAllah cuba ikhtiar setakat yang boleh.

Perawat mula membaca beberapa potong ayat dan doa. Tiba-tiba pesakit terus terdiam lena. Duk baca lagi doa, tiba-tiba kaki yang tempang tadi bergoyang-goyang.

Perawat: Hang jangan duk berlakon tidoq depan aku naa...hang ingat aku tak tau...toksah duk goyang-goyang kaki ni...Bangun!!! Aku kata bangun!!! Satgi hang sakit kot...

Pesakit terus paling muka, merenung perawat dengan mata yang terbeliak. Riak muka marah.

Perawat: Hang toksah duk jegil aku macam tu...aku korek bijik mata hang satgi buta teruih...pandang aku elok-elok...

Terus mata pesakit jadi ayu keayuan memandang perawat.

Perawat: Hang sapa? Apa cerita ni hang masuk badan dia...cerita kat aku...
Jin: Aku dah kata dah, aku mau kat dia, tapi dia ambik jugak...aku buat la dia nak bagi pisah...tapi tak pisah-pisah jugak...aku mau jugak dia...
Perawat: Dia tu sapa yang hang mau?
Jin: Laki dia laa...aku suka laki dia tapi laki dia tak mau aku...mau kat dia...aku tak boleh terima...
Perawat: Hai...punya ramai lelaki yang hensem, kacak, segak bergaya...awat hang duk gila kat laki dia jugak...awat...hensem sangat ka laki dia...aku hensem dak...
Jin: Aku tak suka hang. Aku mau laki dia ja..

Perawat bertanyakan pada anak pesakit (kawan perawat) apa cerita sebenarnya. Ceritanya sebelum ibu dia kawin, ibu dia dan sepupu ibu duk keluar berdating la zaman belasan tahun dulu. Pi mana-mana selalu sama-sama. Jumpa pulak satu laki ni (suami pesakit dah arwah), dua-dua jatuh cinta secara diam-diam. Zaman dulu bila bercinta, saling berutus surat. Ibu dan sepupu ibu ni meluahkan perasaan cinta pada lelaki yang depa kenal masa tu. Yang sepupu ibu ni lebih segak lebih putih lemak berkrim dari ibu dia ni tapi lelaki tu pilih ibu dia walaupun kurang lemak dan krim sebab budi bahasa ibu dia lebih lembut daripada sepupu ibu. Ibu kawan ni kawin pada usia 19 tahun. Sepupu ibu tak boleh terima kenyataan cinta dia ditolak. Menangis selama seminggu patah hati tak lalu makan kerana cintanya di atas kertas, terbang melayang tak tentu arah. Kerana marah jadi dendam, kerana cinta jadi dengki, sepupu ibu dia pun cari la satsatu tok bomoh di Balik Pulau (arwah dah..) yang agak terkenal la pada zaman tu..

Jin: Haa..tok bomoh tu la...kepala botak. Aku suruh dia buat nk bagi pisah. Tak boleh jugak.
Perawat: Kalau jodoh tu Allah dah tetapkan tak ubah, hang buat macamana pun tak boleh ubah. Hang boleh ka lawan Tuhan?
Jin: (Diam)..
Perawat: Hang masuk badan dia sejak bila?
Jin: Lama dah...
Perawat: Aku tau lama, sejak bila?...sejak dia kawen ka?
Jin: Ha sejak dia kawen..

Perawat tanya pada anak pesakit, ibu dia kawen umur berapa, dia bagitau umur 19 tahun. Sekarang umur ibu dia 79 tahun. Bermaksud jin ni dah duk dalam badan ibu dia selama 60 tahun.

Perawat: Sepupu dia ni duk mana?
Jin: Mati lama dah...
Anak pesakit: Mati 10 tahun dulu..
Perawat: Tok bomoh tu ada lagi dak?
Jin: Mati lama dah...10 tahun dulu..
Perawat: Habis, dua-dua dah mati, awat hang duk lagi dalam badan dia?
Jin: Aku nak tolong dia. Dia duk pi urut pompuan, aku yang tolong dia. Ayat-ayat Quran aku yang ajaq dia...dia ni baik, aku suka dia. Jadi aku nak tolong dia...
Perawat: Ooo...jadi hang ni Islam laa...
Jin: (Angguk)..
Perawat: Hang tau dak hang dah menzalimi dia selama ni...sebagai jin Islam, Islam tak mengajar suka menzalimi sesama saudara Islam. Hang masuk dalam badan dia kira dah aniaya dia...
Jin: Aku tak buat apapun, aku tolong dia ja...
Perawat: Hang tak layan untuk tolong dia. Dia ada suami sebelum ni...suami dia yang jaga dia, bukan hang. Tempat hang bukan di alam manusia, hang kena duk kat alam hang...la ni hang dah menzalimi dia selama 60 tahun, jafi aku nak jatuh hukum nak sembelih hang, aku kerat tangan kaki hang, aku cincang tubuh hang...hang bersedia ka nak terima hukuman?
Jin: Aku nak keluaq. Aku nak balik...
Perawat: Oo..sekarang baru nak balik, sebelum ni takmau balik. Aku tak izin hang balik..hang ka yang bagi kaki dia tempang, urat kaki dia seliuh ..hang jawab aku!!!
Jin: Ya..
Perawat: La ni hang perbetui perbetui balik urat kaki dia...bagi elok balik sebelum aku belasah bantai hang cukup-cukup...buat sekarang!!!

Kaki pesakit yang tempang tadi duk tergodek-godek goyang tengah diperbetui.

Dah habis jin tu perbetui urat, perawat pun suruh dia angkat sumpah untuk memutuskan pertalian dan perhubungan antara jin tersebut dengan pesakit. Selesai angkat sumpah, pesakit terus baring mengiring dengan sendiri dan tertidur. Jin dah keluar dari tubuh balik ke pangkuan keluarganya di balik pulau. Lebih kurang 5 minit, pesakit terjaga dan agak kebingungan. Perawat ditanya pesakit, sapa yang mai ni..perawat menceritakan apa yang berlaku sebenarnya dan pesakit pun faham.

Setakat itu saja urusan perawatan dan perawat berundur pulang.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#PerubatanIkhtiarDanDoa
#Sihir
#GangguanJin
#PemisahRumahtangga
#BidanUrut
#IriHati
#JadiRebutan

Untuk sebarang pertanyaan, sila rujuk nombor talian di mukadimah, surat pertama blogspot ini. Terima kasih.