Wednesday, September 5, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan 2 Ekor Jin Bangladesh Beragama Hindu Eps 72*

Merawat Kerasukan 2 Ekor Jin Bangladesh Beragama Hindu

Pertengahan Februari 2018, berlaku kes kerasukan ke atas seorang pesakit lelaki berlokasi di Batu Uban, Pulau Pinang. Perawat telah dihubungi pesakit pada sebelah petang untuk merawatnya di rumah pada sebelah malam. Selepas solat Isyak, perawat sampai di rumah pesakit.

Seperti biasa, pesakit akan ditemubual terlebih dahulu untuk mengenal pasti punca terjadi gangguan kerasukan pada dirinya. Mengikut cerita pesakit, tempoh gangguan telah berlangsung selama 4 tahun sejak mula pindah ke rumah barunya di Batu Uban. Pernah beberapa kali dirawat oleh beberapa orang perawat sepanjang 4 tahun tersebut tetapi masih juga tiada jalan penyelesaian dan semakin hari semakin mengalami sakit seluruh badan. Bila pemeriksaan doktor dibuat, tiada keputusan klinikal yang mensabitkan pesakit mengalami sebarang penyakit. Antara simtom-simtom gangguan yang dialami oleh pesakit lelaki ini ialah kerap kerasukan penuh, mengalami mimpi buruk seperti lipan, berada di tempat yang tinggi, berada di tempat kotor dan macam-macam serangga, kerap terjaga malam badan terasa panas, sejuk dan seram sejuk ketika berada di rumah. 

Masih lagi belum dapat titik punca gangguan, perawat meminta pesakit jujur untuk menceritakan apa masalah yang sebenarnya berlaku bila pesakit terlepas cakap tentang kejiranan tidak mesra. Barulah diberitahu bahawa sebenarnya berlaku perebutan untuk memiliki rumah yang telah dibeli pesakit itu oleh jiran berhadapan pintu dan jiran di atas rumahnya yang juga ada hubungan keluarga dengan jiran di depan rumahnya. Untuk makluman, jenis rumah yang diduduki pesakit adalah pangsapuri. Kerana tidak puashati tuan rumah asal menjual rumah kepada pesakit, jiran dua beradik ini telah berniat jahat untuk menyakitkan pesakit melalui ilmu perbomohan. Adik perempuan kepada jiran di depan rumah pesakit adalah beragama Islam tetapi berkahwin dengan seorang Bangla yang beragama Hindu tetapi menyamar sebagai seorang Islam dan menetap di rumah atas. Dimaklumkan adik perempuan itu telah dikenakan ilmu penunduk oleh mamat Bangla tersebut sehingga sanggup mengahwininya dan menurut perintah.

Mamat Bangla itu pula diketahui belajar suatu ilmu perbomohan sesat dari Bangladesh yang lebih kepada memuja patung untuk perlindungan dirinya. Jadi mula-mula dihantar tuju-tuju untuk mengganggu dan menyakitkan pesakit dan keluarga. Kemudian dituruti menghantar jin untuk menyebabkan kerasukan agar pesakit menjual dan keluar dari rumah yang telah dibelinya itu. Ketika sedang bertemubual untuk mendapatkan punca gangguan, bunyi berdentum di lantai atas seperti mamat Bangla sudah tahu kehadiran perawat.

Sesi rawatan pertama dijalankan, perawat memanggil masuk jin yang merasuk. Tidak sampai 2 minit, jin tersebut hadir dan pesakit kerasukan. Soal siasat dijalankan ke atas jin tersebut yang pada mulanya menipu ia datang dari Siam tetapi setelah diseksa, barulah jin tersebut memberitahu ia berasal dari Bangladesh, mengikut tuannya yang berada di rumah atas serta beragama Hindu. Walaupun telah dipujuk dan didakwah untuk masuk Islam, jin tersebut yang berusia 1000 tahun masih degil yang teramat selain memberitahu ia sangat benci pada Nabi Muhammad. Katanya ia kebal dan tidak boleh mati. Walaupun perawat telah bertolak ansur, bagi nasihat, dakwah agama Islam atau minta keluar dengan bersumpah jika tidak mahu masuk Islam, jin tersebut tidak takut mati dibunuh kerana sangkanya umur 1000 tahun itu akan hidup sampai kiamat.

Maka jalan terakhir perawat membunuh mati jin tersebut selain membelah tubuh jin termasuk kepala jin putus dan terbelah dua. Pesakit rebah seketika disebabkan letih sebelum dipulihkan kembali setelah berasa ringan dan lega. Apa yang berlaku sepanjang proses rawatan, berdentam-dentum kedengaran kuat lantai di atas serta suara mentera yang tidak difahami seolah-olah mamat bangla tersebut cuba melawan dan membalas serangan. Ketika kalah dan jin utusannya mati dibunuh, terdengar suara mamat bangla meraung di atas seolah-olah kecewa kerana kalah.

Setelah selesai sesi rawatan pertama yang mengambil masa satu jam, perawat mengundur diri untuk pulang. Tetapi keesokannya pesakit menghubungi perawat kembali dan menyatakan dia sakit dengan lebih teruk pada pukul 2 pagi semalamnya. Pesakit meminta perawat datang ke rumahnya selepas habis kerja pada lewat petang. Setelah hadir pada petang hari kedua, pesakit memberitahu uratnya seperti ditarik dari kaki ke pinggang. Dalam tidurnya dia bermimpi kelemasan. Proses rawatan kedua dijalankan dan didapati ada seekor jin telah dihantar masuk melalui kaki pesakit yang menyebabkan urat ditarik. Perawat memanggil jin tersebut hadir dan tidak sampai 2 minit, pesakit kerasukan. Video rakaman sesi kedua tidak dapat direkod kerana perawat tidak menjangka berlaku lagi kerasukan kali kedua. Jin utusan kedua disoalsiasat untuk diketahui sama ada jin yang sama merasuk pesakit semalam atau jin baru. Jin tersebut memberitahu bahawa ia adalah jin baru dan jin yang semalam itu telah mati dibunuh. Kali ini jin yang merasuk pesakit bertindak ganas hendak membunuh isteri dan anak-anaknya dengan menyergah keluarga menggunakan bahasa bangladesh. Perawat telah mengikat mati jin tersebut yang berusia 2000 tahun supaya tidak dapat melawan. Seperti biasa, jin dinasihat, didakwah dan diberi peluang, masih juga tidak mahu bertolak ansur dan tidak takut untuk mati dibunuh kerana difikirkan umur 2000 tahun itu masih boleh hidup lama. Akhirnya jin tersebut mati dibunuh perawat. Setelah dipulihkan, pesakit meminta perawat untuk memeriksa isterinya pula yang mengadu kakinya sakit. Didapati ada zat jahat yang terdapat pada kaki isterinya dan dimusnahkan. Setelah selesai, perawat mengundur diri untuk pulang. Rawatan mengambil masa satu jam setengah untuk selesai. Selepas dari itu, tiada lagi kedengaran sebarang berita dari pesakit yang terus berdiam diri.

Kredit video.
Saksikan sedutan rakaman pada sesawang di bawah.

1. https://youtu.be/-Hb5W-taHC4


2. https://youtu.be/ES276eDvtGM

Memandangkan perawat agak sibuk dengan pelbagai urusan termasuk kes-kes rawatan yang semakin berat, nantikan kisah pengalaman perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1